ARTIKEL

Penanaman buluh berskala besar di Baram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kawasan Baram, yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 49,000 hektar dan 8,300 hektar Tanah Adat (NCR), akan dinaik taraf menerusi projek pembangunan jangka panjang.

Perkara ini didedahkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dalam satu kenyataan, yang menyatakan bahawa ia antara yang dibentangkan dalam sesi pembentangan cadangan projek pertanian untuk Rakyat Sarawak (PUTRAS) yang diadakan di Wisma Bapa, baru-baru ini.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa bakal pemaju projek, Malaysian Community Care Foundation (MCCF) Resources Sdn Bhd, menegaskan bahawa pembangunan akan dilaksanakan berdasarkan pendekatan keterangkuman sosial, pemuliharaan alam sekitar, dan pembangunan ekonomi selaras dengan PCDS 2030.

Antara sektor utama yang digariskan dalam projek ini adalah pertanian, tenaga boleh diperbaharui, dan eko-pelancongan.

Penolong Pengurus Besar Pengurusan Sumber Lestari, Hamzah Morshidi, berkata fokus utama pembentangan tersebut adalah membincangkan pembangunan industri buluh sebagai pemacu utama di Wilayah Utara Sarawak.

“MCCF merancang untuk memperkenalkan program penanaman buluh secara berskala besar serta memajukan sektor hiliran berkaitan produk berasaskan buluh. Projek ini juga menekankan kolaborasi strategik bersama PUSAKA dan komuniti tempatan dalam aspek penanaman, penuaian, serta promosi industri buluh sebagai sumber ekonomi mampan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa pemaju akan menjalin kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta, termasuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi.

Selain itu, pendekatan pertanian kontrak juga akan diperkenalkan kepada penduduk tempatan. Pihaknya turut bercadang untuk membina sebuah loji jana kuasa biojisim yang akan berfungsi sebagai pelengkap kepada industri buluh.

Sesi pembentangan ini dipengerusikan oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak (EPU), Datuk Lester Matthew. Turut hadir adalah wakil-wakil dari PUSAKA, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Lembaga Pembangunan dan Perlindungan Tanah, serta wakil komuniti di kawasan Baram.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU