ARTIKEL

PRESIDEN PMNS...Jumaat Ibrahim.

Penangguhan SUKMA: Reaksi Berbeza Persatuan Sukan di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Isu berhubung cadangan menangguhkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 mencetuskan persepsi berbeza persatuan sukan dari Sarawak.

Masing-masing menyuarakan pandangan selain siap siaga dengan rangka pelan susulan tatkala berdepan situasi luar jangka itu.

TUNGGU KEPUTUSAN…Datuk Wan Abdillah.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim menegaskan, ia suatu yang amat mengecewakan sekiranya SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan.

“Kita perlu menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan Selangor berhubung perkara ini.

“Kita juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh tuan rumah,” ujar Jumaat kepada Arena Suara Sarawak.

Jumaat pada masa yang sama menyatakan, PMNS juga menunggu arahan daripada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) mahupun Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) sebelum ada tindakan susulan.

Presiden Persatuan Sukan Boules Negeri Sarawak, Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman mengakui, andaikata SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan ia memberi impak yang cukup besar.

“Ia mencakupi persiapan atlet, perancangan yang diatur melibatkan kos yang mungkin banyak dan sebagainya,” ujar Wan Abdillah.

Beliau tidak menolak kemungkinan cadangan isu yang timbul di luar bidang kuasa persatuan mahupun negeri terlibat.

TETAP BERHARAP…Nuruljumniza Tuah.

“Semua persatuan sukan dari negeri-negeri terlibat sudah mempersiapkan diri dengan seadanya.

“Jadi, sekiranya kejohanan berprestij negara itu ditangguhkan, ia memberi kesan negatif bukan sahaja kepada atlet, malah semua pihak,” tegas beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA), Nuruljumaniza Tuah berkata, pihaknya akan menghormati sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

“SALBA sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan situasi itu kelak dan mempunyai perancangan tersendiri,” jelas Nuruljumaniza.

Pun begitu, pihaknya tetap berharap keputusan yang dibuat tuan rumah perlu mengambil kira kepentingan pembangunan atlet khususnya dari segi momentum prestasi dan motivasi mereka.

“Sebagai langkah alternatif, SALBA merangka beberapa pelan tindakan sokongan.

“Antaranya, menyertai pelbagai kejohanan, mempertingkatkan program pembangunan atlet pelapis dan sebagainya,” jelas Nuruljumaniza.

Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Dr Rahman Lariwoo pula sedia menerima sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Kita sudah menyediakan pelan ‘B’ untuk berdepan situasi ini andaikata ia berlaku,” jelas Rahman.

Katanya, latihan membabitkan petinju tetap diteruskan seperti biasa andaikata SUKMA 2026 ditangguhkan.

Malah tegas beliau, pihak akur dalam menerima sebarang keputusan luar jangka daripada tuan rumah.

“Apa-apa pun, kami berharap SUKMA 2026 dapat diteruskan mengikut jadual asal ditetapkan sebelum ini,” kata Rahman.

PRESIDEN SABA…Datuk Dr Rahman Lariwoo.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU