KUCHING: Cadangan penangguhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berpotensi memberi kesan kepada temasya Para SUKMA tidak akan menjejaskan momentum latihan serta kesiapsiagaan atlet Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata cadangan itu bukan alasan untuk memperlahan pembangunan atlet orang kurang upaya (OKU) di negeri ini.

“Penangguhan ini tidak menghentikan persiapan kita.
“Latihan tetap berjalan dan kita akan pastikan atlet sentiasa bersedia untuk bertanding pada bila-bila masa,” katanya ketika bercakap dalam sidang media selepas menyempurnakan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara KPWK dengan Toy8 di OSEIC, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas titah cadangan Sultan Sharafuddin Idris Shah agar penganjuran SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan susulan konflik di Asia Barat.
Mengulas penganjuran Sukan Olimpik Khas Kebangsaan di Bintulu, Fatimah berkata persediaan sebagai tuan rumah kini berada pada tahap akhir dengan kemajuan mencecah kira-kira 90 peratus.
Katanya, keputusan memindahkan penganjuran ke Bintulu dibuat secara strategik berikutan kerja naik taraf kemudahan sukan di Kuching tanpa menjejaskan kualiti temasya.
“Bintulu membuktikan keupayaannya sebagai tuan rumah. Walaupun berdepan peningkatan kos, komitmen semua pihak termasuk penyertaan negeri-negeri lain kekal kukuh,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan pembangunan sukan OKU di bawah kementeriannya akan terus diperkasa secara menyeluruh, meliputi Para SUKMA, Special Olympics bagi individu kurang upaya intelektual, serta sokongan kepada atlet pekak dan cacat penglihatan.


