KUCHING: Laporan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030: Sorotan 2023 memberikan gambaran jelas tentang perjalanan Sarawak setakat ini, memperincikan strategi yang telah dilaksanakan dan pencapaian yang berjaya diraih.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, Sarawak secara terbuka berkongsi kemajuan dan hasil program serta dasar Kerajaan Negeri kepada pihak berkepentingan melalui laporan ini.

“Langkah ini bagi memastikan semua pihak sentiasa dimaklumkan kerana kita percaya bahawa kerjasama penting untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk Sarawak.
“Pencapaian yang dipaparkan dalam laporan ini lebih daripada sekadar angka. Ia mewakili impak sebenar terhadap kehidupan rakyat, di setiap bandar dan kampung, melibatkan setiap lapisan pendapatan dan latar belakang budaya di negeri ini.
“Ia juga menunjukkan usaha kita dalam mencipta peluang dan memperbaiki kehidupan, tidak kira di mana atau siapa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030: Sorotan 2023 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau turut menambah bahawa PCDS2030: Sorotan 2023 merupakan cerminan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap ketelusan dan pertumbuhan mampan.

“Ia menyorot apa yang telah berjaya dicapai dan aspirasi yang membimbing ke hadapan, membawa kita selangkah lebih dekat kepada Sarawak yang diimpikan menjelang tahun 2030,” katanya.
Sementara, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir bagi menyempurnakan pelancaran laporan berkenaan di Wisma Bapa Malaysia, sambil disaksikan barisan pemimpin, pegawai kanan kerajaan, pemimpin korporat, serta wakil sektor swasta dan NGO.
Antara yang ditampilkan menerusi Laporan PCDS2030: Sorotan 2023 termasuk pencapaian sebenar merentasi sektor, dengan pencapaian dalam enam bidang ekonomi utama yang memberangsangkan.
Pertama, Sarawak menarik RM21.5 bilion pelaburan yang diluluskan dari 2021 hingga 2023 dalam sektor pembuatan, sekali gus mewujudkan lebih daripada 11,000 pekerjaan baharu.
Diikuti, 3.9 juta ketibaan pelawat pada tahun 2023 direkodkan dalam sektor pelancongan, menjana pendapatan sebanyak RM9.99 bilion.
Dalam sektor perhutanan pula, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif menanam 32.5 juta pokok dari 2021 hingga 2023, menunjukkan komitmen terhadap alam sekitar.
Manakala, rangkaian jalan yang meluas sejauh 31,577 kilometer melibatkan sektor infrastruktur dibina, meningkatkan akses dan keterhubungan.
Sektor utiliti turut diberi perhatian mendorong kepada liputan elektrik mencapai 99.4 peratus, manakala liputan bekalan air berada pada 84.3 peratus sebagai usaha membawa perkhidmatan penting kepada komuniti.
Dalam pada itu, Sarawak mengekalkan 60 peratus campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan menjual 5 juta Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) pada tahun 2023.



