Pencawang Serudit beri manfaat 28,000 penduduk

SARAWAK Energy sekali lagi mencatat sejarah dalam usahanya membekalkan Sarawak dengan sistem moden. Syarikat ini berjaya menyiap dan memulakan operasi pencawang 275/ kV/132kV/33kV Serudit pada 1 Disember 2020.
Projek baharu bernilai RM165 juta ini dijangka dapat memberi manfaat sekitar 28,000 pelanggan di Betong meliputi Daerah Betong, Saratok, Pusa dan Kabong serta Debak dan Spaoh.
Kemudahan ini juga meningkatkan bekalan elektrik di kawasan berkenaan, berfungsi sebagai antara muka penting bagi sistem penghantaran dengan rangkaian pengedaran.
Bahagian Betong sebelum ini dibekalkan dengan talian kuasa 33kV yang membentang sejauh 45km dari pencawang terdekat di Engkilili.
Talian elektrik jarak jauh ini menjadikannya mudah menimbulkan gangguan luaran sehingga menyebabkan gangguan bekalan.
Berdasarkan rekod, punca kepada gangguan bekalan elektrik utama di kawasan ini ialah tumbuhtumbuhan, pembukaan tanah dan aktiviti penebangan pokok oleh penduduk, pencerobohan hidupan liar dan kilat.
Kerja pembinaan di Projek Lebuh Raya Pan Borneo juga menyumbang kepada gangguan bekalan di sepanjang jalan elektrik.
Antara penyebab gangguan elektrik ialah kerja penggalian yang merosakkan kemudahan seperti kabel bawah tanah dan tiang yang pecah serta saluran disambar oleh jentera.
Pencawang yang baharu ditugaskan pada voltan suntikan yang lebih tinggi iaitu 275kV dengan turun ke 132kV dan 33kV.
Ia menyediakan sistem bekalan yang lebih baik ke Bahagian Betong dengan memendekkan saluran bekalan pengedaran, dan mengurangkan risiko gangguan bekalan daripada gangguan luaran.
Naib Presiden Eksekutif Sarawak Energy Untuk Penyampaian Projek Ir Pramod Kumar Karunakaran berkata, pentauliahan kejayaan Serudit 275kV, 132kV dan 33kV pencawang kerana kerjasama erat ramai pihak.
Mereka terdiri daripada Sarawak Energy, Unit Perancang Negeri, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah dan paling pentingnya penduduk di Bahagian Betong.
“Suntikan baharu ini mengukuhkan sistem pengedaran 33kV untuk Betong, Pusa, Saratok dan Kabong dan subdaerah masingmasing dan berfungsi sebagai titik suntikan 132kV masa depan ke Sri Aman.
“Ia juga menyediakan sambungan grid wilayah 132kV pada masa depan yang menghubungkan Lachau, Sri Aman, Serudit, Saratok dan hingga Sarikei,” ujarnya. Menurut Pramod, sebelum ini projek tersebut menghadapi beberapa kelewatan.

“Kita menghadapi masalah membabitkan masalah tanah dan jalan yang mempengaruhi kerja penyambungan saluran penghantaran menyambung ke pencawang.
“Bagaimanapun ia dapat diselesaikan dengan sokongan Unit Perancang Negeri dan Jabatan Tanah & Survei, setelah itu kerja pembinaan dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Pramod menambah, projek pengukuhan bekalan Serudit merupakan pencapaian hebat kerana pencawang dan kerja pembinaan talian tidak menghadapi masalah Kehilangan Masa atau Kualiti.
Pelaburan besar
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Sesco Berhad Lau Kim Swee berkata, pihaknya terus memberi keutamaan dalam meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik.
Ia dilakukan dengan melabur secara besar-besaran dalam pemasangan kemudahan baharu yang akan memperkuat sistem.
“Keutamaan kami untuk memberi cahaya dan kami melakukannya dengan memperbaiki sistem bekalan di bandar dan juga di luar bandar,” tegasnya.
Kemudahan baharu di Serudit membolehkan operasi berkesan dan membenarkan pihak memenuhi permintaan masa depan selari dengan pembangunan kawasan berkenaan.
“Tambahan kepada pencawang yang baharu itu, sebuah projek yang dianggarkan bernilai RM200 juta dilaksanakan saat ini untuk membuat litar tambahan di daerah bagi meningkatkan lagi kebolehpercayaan sistem bekalan,” kata Kim Swee.
Kerja penyambungan laluan projek ini dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu peringkat pertama bermula 23 November hingga 1 Disember lalu dan peringkat kedua bermula 14 hingga 22 Disember lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, salah satu daripada dua saluran penghantaran dinyahaktifkan, tetapi ia tidak mempengaruhi bekalan kepada pelanggan.
Langkah berjaga-jaga juga diambil bagi memastikan tiada lintar pintas berlaku di sepanjang talian elektrik, Sarawak Energy menghantar pasukan teknikal dan penjana mudah alih ke lokasi strategik untuk mempercepat pemulihan bekalan elektrik apabila perlu.