KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan ditahan disyaki mencuri kabel di Jalan Demak Indah Sejingkat, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Gita ketika sedang membakar kabel yang telah dipotong di tepi jalan.
Sementara, katanya, rakan kepada suspek berjaya melarikan diri semasa tangkapan dibuat.
“Turut dijumpai, peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri dan memotong kabel serta sebuah motosikal yang berdaftar atas nama rakan suspek.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine, bagaimanapun suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Suspek turut membuat pengakuan bahawa tidak pernah terlibat dalam kes potong dan curi kabel yang terdahulu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sejak Januari sehingga 23 September, pihak polis telah membuka sebanyak 28 kes berkaitan potong dan curi kabel melibatkan sebanyak 37 orang tangkapan.



