KUALA LUMPUR: Pendaftaran bagi saingan Liga Esukan Malaysia 2023 (MEL23) bagi peringkat negeri dan kebangsaan kini dibuka hingga 23 Ogos ini menerusi platform rasmi esukan.gg https://www.esukan.gg/mel23.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan selain itu, pendaftaran bagi Siri Terbuka pula akan dibuka pada 1 hingga 26 Okt ini.
“MEL23 Liga-Liga Negeri akan berlangsung bermula 28 Ogos hingga 5 Nov, manakala MEL23 Peringkat Kebangsaan akan berlangsung dari 16 Okt hingga 1 Nov dengan kesemua siri menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM393,700,” menurut kenyataan itu.
Bagi peringkat negeri dan kebangsaan, sebanyak empat permainan dipertandingkan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Player Unknown’s Battleground Mobile (PUBGM), eFootball Mobile dan Valorant.
Untuk Siri Terbuka pula, terdapat tiga permainan yang dipertandingkan iaitu Dota2, eFootball Console dan Tekken 7, namun tarikh pertandingan tidak dinyatakan.
MEL23 yang kini memasuki tahun ketiga saingan liga, dianjurkan Esports Integrated (ESI) iaitu sebuah inisiatif di bawah KBS bertujuan memangkin ekosistem sukan elektronik yang rancak, inklusif dan mampan di Malaysia.
Liga Esukan Malaysia merupakan satu daripada program utama Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2020-2025 iaitu menyediakan platform persaingan inklusif untuk bakat-bakat sukan elektronik tempatan. – BERNAMA





