ARTIKEL

Pendapatan tukang jahit kurang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hilang semangat, sukar memperoleh peralatan menjahit dan pendapatan merosot antara dilema yang dialami tukang jahit menjelang Syawal tahun ini berikutan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lazimnya, ketika ini rata-rata tukang jahit yang menerima tempahan untuk Aidilfitri sudah tidak menang tangan, namun kali ini cukup berbeza.

Salah seorang tukang jahit di Kuching, Juliza Sulaiman ketika dihubungi mengakui kelainan yang luar biasa.

“Kasihan melihat nasib diri sendiri, tetapi apakan daya kerajaan mahukan rakyat kekal berada di dalam rumah.

“Apa yang dialami setiap tukang jahit mungkin berbeza. Sebagai tukang jahit kecil-kecilan, saya bergantung sepenuhnya dengan modal sendiri… tiada bayaran pendahuluan daripada pelanggan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Situasi itu menyukarkannya membuat pusingan modal apabila banyak tempahan tidak dapat diambil dan dihantar ekoran PKP.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan pendapatan saya merosot. “Pada tahun-tahun sebelum ini, boleh dikatakan setiap hari ada pelanggan yang memberikan upah.

“Sehingga banyak pihak mengatakan pekerjaan kami sebagai pekerjaan mewah,” katanya.

Jelasnya lagi, operasi menjahit tempahan tahun ini agak perlahan yang terganggu disebabkan tiada mood raya.

Dia mengakui lebih 100 tempahan yang diterima sejak Februari lalu masih banyak belum disiapkan.

“Walaupun ada kedai peralatan menjahit sudah dibuka, tetapi pergerakan masih lagi terhad.

“Saya juga pernah membeli secara atas talian… lain barang yang ditempah lain pula yang sampai selain tempoh penghantaran agak lambat,” ujarnya.

Sementara itu, Dayang Suhana Abang Bakeri turut mengakui perkara yang sama lebih-lebih lagi aspek semangat menjahit.

“Sebenarnya kita sudah terbiasa apabila menjelang Ramadan mahupun Syawal, di situlah kemeriahan bagi si tukang jahit.

“Seronok bekerja siang malam menyiapkan tempahan pelanggan, namun tahun ini semua itu tidak dirasai.

“Lebih-lebih lagi kami sekeluarga yang duduk di perantauan. Mungkin sukar untuk balik beraya, jadi terasa tiada mood raya,” jelasnya.

Dia bagaimanapun masih sibuk bertarung dengan mesin jahit untuk menyiapkan tempahan pelanggan yang dibuat sebelum Februari lagi.

Suhana turut mengakui pembelian peralatan menjahit secara atas talian agak memudahkan, cuma terpaksa menunggu proses pengeposan.

Juliza dan Suhana berharap keadaan kembali pulih kerana masing-masing merindui untuk menyiapkan tempahan dengan bersemangat menjelang Syawal.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira