KUCHING: Pendidikan tinggi percuma serta peluang ekonomi mampu menarik lebih ramai anak Sarawak yang menuntut di luar untuk kembali berkhidmat di negeri sendiri.
ADUN Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang berkata, anak Sarawak tidak boleh dihalang daripada menuntut ilmu di luar negara, namun perlu ada galakan bagi membolehkan mereka kembali menyumbang dan berkhidmat di negeri ini.
“Saya fikir pemimpin kita hari ini telah melakukan dengan sangat baik. Bermula daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) membuka mata rakyat Sarawak tentang hak kita. Dan hari ini, dengan mewujudkan peluang serta memberikan pendidikan percuma tanpa mengira kaum dan agama.
“Inilah perkara yang akan menarik golongan muda kita. Ia memberi sebab kepada mereka untuk kembali berkhidmat kepada Sarawak dan menjadikan Sarawak lebih baik,” katanya pada sidang media Pameran Pendidikan dan Ekspo Kerjaya Kerajaan Sarawak di Ibu Pejabat Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) di sini hari ini.
Khere Chiang berkata, anak Sarawak kini semakin memahami bahawa negeri ini mempunyai persekitaran yang baik selain potensi dan kepelbagaian sumber yang boleh dibangunkan.
Beliau berkata, perancangan pemimpin negeri dalam mengembangkan ekonomi turut menjadi pemangkin kepada kemasukan pelabur ke Sarawak.



