ARTIKEL

PPS…Willie mengadakan lawatan di PPS Batu Gong Baru hari ini. Photo Levrone Aigle

Penduduk dan pelancong dinasihat tangguh aktiviti riadah berisiko

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUNCAK BORNEO: Penduduk serta pengunjung yang merancang aktiviti riadah seperti mendaki, merentas hutan atau berkhemah di kawasan berisiko tinggi dinasihatkan supaya menangguhkan aktiviti mereka bagi mengelakkan sebarang insiden tanah runtuh atau banjir.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, berkata pemilik inap desa juga telah dimaklumkan supaya mengambil langkah keselamatan sewajarnya, khususnya di kawasan yang terdedah kepada bencana alam.

“Ia penting sebagai langkah berjaga-jaga melalui pematuhan arahan keselamatan demi kesejahteraan semua penduduk dan pelancong.

“Keputusan ini dibuat susulan hujan lebat yang meningkat empat kali ganda tahun ini, yang menyebabkan beberapa kawasan di Parlimen Puncak Borneo terjejas akibat banjir dan tanah runtuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Batu Gong Baru, hari ini.

Willie berkata, seramai 31 mangsa daripada lapan keluarga telah dipindahkan ke PPS tersebut dan keperluan asas turut disediakan kepada kesemua mangsa.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi kerajaan lain terus memantau keadaan mangsa dan memastikan mereka berada dalam keadaan selesa.

“Penduduk yang rumahnya tidak selamat untuk diduduki dinasihatkan supaya berpindah ke PPS agar bantuan kerajaan dapat diterima dengan lebih cepat.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan saringan kesihatan di PPS bagi mengelakkan penularan penyakit, khususnya kerana musim selesema yang sedang melanda,” jelasnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diarahkan menilai serta memulihkan infrastruktur yang terjejas secepat mungkin, termasuk jambatan dan laluan yang terputus hubungan.

Semua penduduk dan pelancong sekali lagi diminta mematuhi arahan keselamatan dan tidak mengambil risiko dengan menjalankan aktiviti riadah di kawasan yang terdedah kepada banjir atau tanah runtuh.

“Sehingga kini, usaha pemulihan berjalan lancar dan pihak berkuasa mengekalkan pemantauan rapi bagi memastikan keselamatan mangsa serta komuniti terjamin,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU