Penduduk Daro diminta tingkat tahap pematuhan SOP, jangan keluar rumah jika tiada urusan penting

DARO: Adun Daro Safiee Ahmad meminta penduduk di kawasannya termasuk penghuni rumah panjang terus tingkatkan usaha mamatuhi SOP yang telah ditetapkan.
Ini susulan terdapat kes positif dari daerah itu hari ini, Safiee mengulangi nasihat supaya penduduk di sini jangan keluar rumah tanpa sebab.
” Cuma keluar sekiranya amat perlu sahaja. Jaga kebersihan diri sepanjang masa seperti kerap mencuci tangan dengan sabun dan guna pelitup muka ketika berada di luar,” katanya dihubungi Suara Sarawak sebentar tadi.
Beliau juga mengingatkan supaya penduduk Daro menangguh semua urusan yang kurang penting hendak ke kawasan berisiko.
“Sekiranya mana-mana individu yang ada sejarah kontak rapat jangan bersembunyi, perlu jujur tampil memberi maklumat yg betul dan buat saringan supaya tidak membahaya diri sendiri dan orang lain.
“Jaga diri anda, jaga keluarga anda. Kita jaga kita,” katanya.
Suara Sarawak menerima makluman mengenai terdapat kes positif Covid-19 dari daerah itu melibatkan pekerja kilang yang dirujuk ke Hospital Daro sebelum dihantar ke Hospital Sibu.
Untuk info, pasar Daro seringkali menjadi tumpuan pekerja ladang mendapatkan bekalan makanan terutamanya hujung minggu.
Pasar dan pasar raya yang terdapat di daerah ini, paling hampir dengan kilang dan ladang-ladang di sekitarnya.