KUCHING: Seramai 44 penduduk di Jalan Burung Lilin menerima tong sampah baharu bagi menggantikan kemudahan lama yang rosak dan usang menerusi satu program penyerahan yang dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal serta meningkatkan tahap kebersihan kawasan perumahan tersebut.
Program disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang, yang menyifatkan penyediaan kemudahan itu sebagai langkah penting dalam memastikan persekitaran komuniti sentiasa bersih, sihat dan selesa untuk didiami.
Katanya, akses kepada kemudahan pelupusan sampah yang baik memainkan peranan besar dalam usaha mengekalkan kebersihan kawasan kejiranan, selain membantu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar.
“Penggantian tong sampah yang rosak dapat memudahkan penduduk menguruskan sisa domestik dengan lebih teratur, sekali gus mengelakkan berlakunya lambakan sampah yang boleh menjejaskan imej kawasan berkenaan,” katanya.
Program dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Burung Lilin yang diketuai oleh Ketua Kampung, Poniman, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Treinekens (Sarawak) Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Lo turut mengingatkan penduduk agar menggunakan dan menjaga kemudahan yang disediakan dengan penuh tanggungjawab supaya ia dapat dimanfaatkan dalam tempoh yang lebih lama.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membebankan tong sampah melebihi kapasiti, memastikan kebersihannya sentiasa terjaga serta menutup penutup tong selepas digunakan bagi mengelakkan gangguan haiwan perosak.
Tambahnya, penyelenggaraan kemudahan awam yang baik mampu mengurangkan masalah bau tidak menyenangkan, pencemaran persekitaran dan risiko penularan penyakit yang berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak sempurna.
Ujarnya, kejayaan pelaksanaan program itu membuktikan bahawa kerjasama erat antara komuniti setempat, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta mampu menghasilkan manfaat besar kepada masyarakat serta menyokong pembangunan kawasan yang lebih lestari.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung Poniman, JKKK Kampung Burung Lilin, MPP dan Treinekens (Sarawak) Sdn. Bhd. atas komitmen mereka menjayakan inisiatif berkenaan yang sekali gus menyemai kesedaran sivik dan budaya menjaga kebersihan dalam kalangan penduduk.

