MIRI: Penduduk Miri disarankan agar segera beralih kepada sistem e-bil untuk pembayaran bil taksiran tahun 2024 kepadanMajlis Bandaraya Miri (MBM).
Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata, peralihan sedemikian adalah penting sebagai usaha pihaknya menjadikan bandar ini mampan serta menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi dan cekap.
“Komitmen MBM dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat adalah sejajar dengan inisiatif ekonomi digital Sarawak, dan juga matlamat penyediaan perkhidmatan cemerlang.
“Oleh itu, kami menggesa penduduk di sekitar bandar ini untuk beralih kepada e-bil dan mengemas kini butiran mereka dalam Unit Penilaian dan Penarafan, bagi memastikan penghantaran segera notis penilaian.
“Selain itu, peralihan ini juga merupakan kaedah pembayaran di hujung jari yang membantu mengelakkan kesesakan beratur di kaunter untuk membuat pembayaran,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat MBM yang yang pertama pada tahun 2024, di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan masyarakat di sini untuk menggunakan pilihan pembayaran dalam talian yang tersedia melalui aplikasi Spay Global, laman web Sarawak Service, dan laman web Pay Bills Malaysia.
Dedahnya juga, bagi membantu masyarakat yang ingin membuat pembayaran, Unit Penilaian dan Penarafan akan menyediakan kaunter mudah alih di Emart Riam pada 3 dan 4 Februari, serta 24 hingga 25 Februari di Emart Tudan bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang.
Timbalan Datuk Bandar Miri Ariffin Mohammad, serta ahli-ahli majlis yang lain turut hadir pada mesyuarat tersebut.


