KUCHING: Regatta Sarawak 2023 melabuhkan tirainya petang esok, sekali gus merungkai segala teka-teki pasukan yang akan dinobat sebagai Raja Sungai Sarawak 2023.
Bagaimanapun, perlumbaan kategori tumpuan perahu bidar 30 pekayuh lelaki (Raja Sungai Piala TYT) yang membabitkan 18 perahu dari pasukan berbeza akan bermula pukul 4 petang.
Selesai sepuluh acara lain membabitkan kategori berbeza iaitu perahu bidar 7, 10, 15, 20, 25 pekayuh lelaki yang bermula sebelah pagi sehingga tengah hari.
Setentunya, tumpuan peminat yang membanjiri Tebingan Kuching petang esok lebih terarah kepada Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak yang gah mendominasi kategori utama itu pada dua hari perlumbaan sebelumnya.
Apatah lagi reputasi mereka selaku penyandang gelaran sama pada tahun lepas.
Namun, keupayaan nama-nama besar lain seperti Jang Aiee, Udak 1, Ngah 2, Todak Berjaya, H & D, DBKU Pantai Damai Binladen 1, Enraz Cahaya Zen tidak boleh dipandang enteng.
Mereka mampu mencipta kejutan pada saingan sebenar petang esok. Malah, tidak mustahil gelaran teragung itu boleh berpindah milik.
Saingan hari kedua Regatta Sarawak 2023 hari ini menyaksikan 16 perlumbaan peringkat saringan dilangsungkan yang membabitkan perahu bidar 7, 10, 15, 20, 25 dan 30 pekayuh lelaki.

