FOXBOROUGH: Juara empat kali Jerman, sekali lagi tersingkir awal daripada Piala Dunia FIFA selepas tewas kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 32 susulan keputusan seri 1-1 pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kai Havertz gagal menyempurnakan sepakan pertama penentuan penalti apabila percubaannya terus ke arah penjaga gol Orlando Gill, manakala sepakan penalti Nick Woltemade turut diselamatkan dan Jonathan Tah pula menyepak bola melepasi palang ketika Paraguay menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Jaringan Jonathan Tah pada minit ke-102 bagaimanapun dibatalkan pengadil Jalal Jayed dari Maghribi selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Waldemar Anton telah mengasari penjaga gol, Gill.
Julio Enciso meletakkan Paraguay di hadapan pada minit ke-42 menerusi tandukan kencang ketika barisan pertahanan Jerman hampir tidak memberikan sebarang tekanan dalam satu daripada beberapa serangan yang berjaya dihasilkan Paraguay.
Corak permainan “low block” Paraguay sukar ditembusi dalam cuaca panas berhampiran Boston, manakala Jerman pula ketandusan idea dan kreativiti dalam usaha menghasilkan peluang.
Jerman akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi tandukan Havertz hasil hantaran lintang Florian Wirtz, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan sebelum ditentukan menerusi sepakan penalti.
Kekalahan itu menyaksikan Jerman tersingkir awal buat kali ketiga berturut-turut di Piala Dunia, meskipun mereka sekurang-kurangnya berjaya mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak muncul juara pada edisi 2014.
Paraguay akan menentang sama ada pilihan utama, Perancis, atau Sweden pada pusingan 16 di Philadelphia, Sabtu ini. Les Bleus akan berdepan Sweden pada Selasa. – BERNAMA-dpa


