Penerbangan butik Sarawak dilihat menjadi satu cabang industri baharu dengan manfaat berganda kepada ekonomi domestik negeri ini.
Penerbangan butik merupakan subset kepada industri penerbangan yang mengkhusus kepada sasaran keperluan penumpang tertentu, ia belum dapat dipenuhi oleh pemain industri yang lebih besar atau ketersediaan pasaran sedia ada.
Keperluan ini mungkin tersendiri disebabkan kesesuaian kapasiti dan perbezaan keadaan setempat.
Selain itu, faktor tertentu seperti cuaca, musim dan sosiobudaya boleh menjadikan kadar permintaan dan keperluan penjadualan berbeza-beza.
KEPERLUAN TERTENTU
Pastinya, keadaan ini perlu disesuaikan dengan strategi niaga memfokus kepada pembezaan berbanding strategi economies of scale yang memperoleh kelebihan penjimatan kos melalui pemanfaatan kapasiti.
Pengangkutan udara merupakan kaedah perhubungan yang begitu dekat di hati masyarakat di Sarawak sejak dahulu.
Ini memandangkan keadaan bentuk muka bumi memiliki banyak sungai dengan keluasan geografinya 124,450km persegi, hampir sahaja menyamai keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia — 131,598km persegi.
Perancangan menubuhkan syarikat penerbangan butik dijangka mengembangkan ekonomi domestik melalui satu lagi cabang transformasi jaringan perhubungan dan logistik.
Satu usaha bersifat pragmatik seiring dengan faedah serta keperluan domestik.
Lebih-lebih lagi, jaringan niaga dijangka berkembang dan diperluas bersama-sama tiga negara jiran di Pulau Borneo khususnya Brunei-Malaysia-Indonesia.
Pastinya, penerbangan butik melengkapkan ekosistem niaga yang mungkin sebelum ini terbatas disebabkan logistik terhad dari pedalaman ke hab perniagaan.
Lantaran itu, keputusan Kerajaan Persekutuan memberi sokongan ke atas usaha Kerajaan Sarawak menubuhkan penerbangan butik membantu merancakkan lagi perhubungan udara serta ekonomi logistik di negeri ini.
Lebih menggembirakan, apabila kita mengaitkan manfaat ekonomi dengan penambahbaikan perhubungan udara melalui penerbangan butik juga memberi impak positif dalam sektor pelancongan negeri.
Laluan ke pedalaman tidak lagi mengambil masa yang lama dan mempunyai pilihan perjalanan pelbagai kepada anak tempatan dan pelancong yang datang ke Sarawak.
Dengan perkembangan ini, ia merancakkan lagi penawaran produk dan perkhidmatan berkaitan pelancongan kepada masyarakat umum.
Dalam konteks pengoperasian, Sarawak mempunyai kelebihan memandangkan pasaran memang sudah ada dan terbuka luas untuk menyahut cabaran ini.
Keberadaan Hornbill Skyways bertapak selama 30 tahun menjadi asas pengoperasian dan kepakaran pengurusan penerbangan yang kukuh dari segi pengamatan dan pengalaman operasinya.
Bagaimanapun, ia akan dikomersial lebih memfokus kepada keperluan penerbangan butik yang dikenal pasti selepas ini.
NILAI TAMBAH
Dalam konteks pengurusan operasi, bakat dan komitmen anak tempatan diperlukan dan boleh digemblengkan kepada industri secara lebih proaktif dan berdaya maju.
Perkembangan ini memberi ruang untuk Sarawak membuka medan kepakarannya tersendiri dalam bidang penerbangan melalui platform syarikat butik sendiri.
Pastinya, pengalaman dan kepakaran pelbagai memberi nilai tambah kepada pembangunan bakat dan sumber manusia melalui inisiatif kerajaan ini.
Jelas, fokus pengoperasian yang dititikberatkan adalah dari segi keselamatan yang efektif, sistem pengesanan, pelaporan berdaya saing dan berteknologi ia juga melibatkan kecekapan maklumat penumpang dan bagasi.
Ini sangat penting bagi memastikan keadaan keselamatan dalam negara tetap terjamin dan terkawal walaupun jaringan perhubungan diperluas ke semua pelosok negeri.
Langkah diambil oleh Kerajaan Negeri tidak terburu-buru dan menyasarkan tiga tahun untuk melengkapkan persediaan sebelum melancarkan syarikat penerbangan butik.
Sebagai permulaan, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi gambaran ia bermula secara sederhana dan berperingkat dengan menggunakan sekurang-kurangnya empat pesawat.
Malah, turut diperjelas syarikat penerbangan butik mungkin bermula dengan pesawat turboprop yang lebih mudah diperoleh, seterusnya dinaik taraf kepada jet jenis sederhana.
Lebih menggembirakan, apabila kita melihat model pengoperasian dijadikan teras kepada strategi penubuhan syarikat penerbangan butik ini tidak berasaskan keuntungan.
Ia lebih mesra rakyat dan bersifat lestari untuk manfaat pembangunan jangka panjang.
Pendek kata, syarikat penerbangan butik yang diinspirasikan ini bukan sahaja suatu inisiatif yang menepati keperluan ekonomi untuk berkembang, tetapi memenuhi keperluan perkembangan sosioekonomi masa depan.
Ia pasti menjadi satu lagi jenama perniagaan milik Sarawak yang menjadi kebanggaan semua.





