KUCHING: Syarikat penerbangan Batik Air secara rasmi melancarkan penerbangan sulungnya bagi laluan Kota Kinabalu (BKI) ke Kuching (KCH) hari ini sekali gus menandakan langkah strategik dalam usaha memperkukuh rangkaian perhubungan udara terus antara Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil berkata, pelancaran tersebut mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam memantapkan jalinan kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan syarikat penerbangan.
Beliau berkata, pembukaan laluan ini membolehkan pengembara serta pelancong menikmati lebih banyak pilihan dan fleksibiliti bagi perjalanan antara Kota Kinabalu dan Kuching.
“Kesalinghubungan terus ini menawarkan alternatif yang lebih efisien berbanding perjalanan darat yang jauh atau penerbangan transit. Ia juga memberi manfaat kepada sektor perniagaan, institusi, pelancong dan komuniti di samping mengukuhkan integrasi ekonomi antara kedua-dua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menyambut ketibaan penerbangan sulung Batik Air dari Kota Kinabalu di balai ketibaan VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.
Penerbangan tersebut membawa seramai 120 penumpang dari Kota Kinabalu yang disambut oleh Dr Jerip bersama-sama tetamu kehormat lain sejurus tiba pada jam 6.20 petang.
Mengulas lanjut, Dr Jerip memaklumkan laluan BKI-KCH akan beroperasi sebanyak 11 kali seminggu yang merupakan langkah strategik dalam meningkatkan frekuensi penerbangan terus antara Sabah dan Sarawak.
“Dengan kehadiran 120 penumpang yang tiba dan 120 penumpang bagi penerbangan berlepas pada hari pertama ini, sambutan tersebut menunjukkan permintaan tinggi serta keyakinan pasaran yang kukuh.
“Justeru peningkatan kesalinghubungan ini akan menyokong pertumbuhan perdagangan, perkhidmatan, logistik, pelancongan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Hubungan udara yang lebih mantap adalah penting untuk pembangunan ekonomi yang seimbang dan berdaya tahan,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau menyatakan kementerian menghargai keyakinan Batik Air terhadap pasaran Sarawak serta komitmen syarikat itu untuk terus berkembang di Malaysia Timur.
“Perkhidmatan ini mengukuhkan peranan Batik Air dalam menyokong mobiliti serantau dan pertumbuhan ekonomi.
“Usaha ini selaras dengan visi Sarawak untuk menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan serantau utama yang disokong oleh perancangan pembangunan lapangan terbang pada masa depan,” jelas beliau.
Sementara itu beliau memberitahu bahawa langkah mempertingkatkan kesalinghubungan Sabah dan Sarawak adalah tepat pada masanya dan bersifat strategik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Akses yang lebih baik akan menggalakkan pelancongan pelbagai destinasi di Sarawak menerusi sambungan terus dan tidak langsung melalui Kota Kinabalu.
“Oleh itu kami menghargai kerjasama erat antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Tourism Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Batik Air dalam menyambut penumpang hari ini yang mencerminkan hospitaliti Sarawak,” katanya sambil menambah kementerian sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua rakan industri bagi membuka peluang pertumbuhan baharu di Sarawak.








