KUCHING: AirBorneo merancang memulakan penerbangan komersial dalam Sarawak pada 2027, termasuk cadangan laluan terus dari Sibu ke Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu yang masih dalam penilaian rangkaian penerbangannya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, berkata, cadangan itu bertujuan meningkatkan kemudahan pergerakan awam serta menyokong pembangunan ekonomi Sarawak tengah.
“Bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kepada ketersediaan pesawat komersial yang sesuai, hak trafik udara, kelulusan kawal selia, sokongan lapangan terbang, keperluan kru, pengaturan penyelenggaraan serta daya maju permintaan.
“Maklumat lanjut akan diberikan selepas perancangan rangkaian, kelulusan dan kesiapsiagaan operasi dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek, berkaitan status usaha mewujudkan penerbangan terus AirBorneo dari Sibu ke Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu serta jangkaan tarikh laluan berkenaan mula beroperasi.
Bagaimanapun, tarikh khusus bagi pelaksanaan ketiga-tiga laluan itu belum dimuktamadkan.


