ARTIKEL

Irwan Zulkarnain Dato’ Muhammad Hasbie

Pengagihan wang ihsan ikut proses

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dakwaan seorang pengadu berhubung kegagalan menerima wang ihsan projek pembetungan di kawasan Petra Jaya disifatkan berpunca daripada pertukaran pemilikan rumah yang berlaku selepas peruntukan diluluskan.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Irwan Zulkarnain Dato’ Muhammad Hasbie berkata, pengagihan wang ihsan kepada 219 pemilik rumah terjejas dibuat mengikut proses sewajarnya berdasarkan penama pemilik rumah ketika data dikumpulkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Beliau berkata, peruntukan wang ihsan itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sekitar Oktober 2022 susulan lawatan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kampung Tunku pada Oktober 2021, yang diuruskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.

“Selepas peruntukan diluluskan, JKKK Kampung Tunku dipertanggungjawabkan untuk mengumpul butiran pemilik rumah terjejas termasuk nama dan akaun bank.

“Ini selaras dengan prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Sarawak bagi tujuan pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas beliau, isu melibatkan seorang pengadu yang mendakwa belum menerima wang ihsan, seperti dilaporkan media tempatan baru-baru ini, perlu dilihat berdasarkan kronologi sebenar.

“Pengadu berkenaan hanya menyempurnakan proses pertukaran hak milik rumah pada 14 Disember 2022, sedangkan peruntukan wang ihsan telah diluluskan lebih awal pada Oktober 2022.

“Malah, data penerima telah dikemukakan kepada SDO sebelum pengeluaran cek dibuat pada Januari 2023,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa pemilik asal rumah berkenaan telah membuat tuntutan pampasan berkaitan projek pembetungan itu sejak 2018 dan direkodkan sebagai penerima bantuan berdasarkan data yang dikumpulkan.

“Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya juga telah beberapa kali bertemu pengadu sejak 2023 bagi menjelaskan keadaan sebenar dan, pengadu pada ketika itu difahamkan mengakui serta memahami situasi berkenaan,” ujarnya.

Mengulas laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada 2024, beliau berkata, semua pihak berkaitan termasuk Pusat Khidmat, SDO dan JKKK telah diambil keterangan, namun pihak polis mendapati tiada kes untuk diteruskan.

Justeru katanya, Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya berperanan sebagai pemudah cara dalam menyelaras peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, manakala urusan pengumpulan dokumen dan pengeluaran cek adalah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU