ARTIKEL

Pengalaman agropelancongan unik dusun durian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ALOR GAJAH: Bayangkan sambil menikmati keenakan raja buah yang baru gugur di bawah rendang pepohon durian, sambil mata sesekali tertumpu pada gelagat arnab, kambing dan meerkat (juga dipanggil surikat) yang menghuni mini zoo berhampiran di tengah kehijauan dusun.

Pengalaman yang menjanjikan kelainan itu berbanding kunjungan ke dusun sebelum ini yang lazimnya berakhir di meja hidangan ataupun bersantai di bawah pepohon sambil menikmati durian, kini tampil dengan keunikan tersendiri menerusi konsep diketengahkan Duta Riand Villa di sini.

Berkeluasan 42 ekar dan menempatkan kira-kira 1,600 pokok durian, lokasi itu menawarkan keseronokan menikmati raja buah sambil meluangkan masa dengan keluarga atau rakan-rakan menerusi pelbagai aktiviti rekreasi termasuk mengunjungi mini zoo, memanah dan menunggang ATV.

Pengarahnya, Koh Kai Xiang berkata, pendekatan itu dibangunkan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung selain memastikan kawasan berkenaan terus mempunyai tarikan meskipun di luar musim durian.

“Selain dusun durian, elemen agro dan alam turut diterapkan menerusi mini zoo dan aktiviti ATV. Kita jual ‘experience’ bukan sekadar buah. Pengunjung yang datang selain menikmati buah segar, meneroka pelbagai aktiviti lain, mereka juga berminat hendak tahu cara pilih buah yang baik serta aspek keselamatan.

“You are what you eat. Setiap pelanggan wajib tahu apa buah diberi makan, kualiti diberi serta keselamatan makan terutamanya durian ini adalah raja buah,” katanya ketika program Melaka Surreal Durian Experience 2026 anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan.

Oleh kerana itu, Duta Riand Villa yang mula beroperasi sejak 2025 ini memberi penekanan kepada pengunjung bahawa mereka bukan sekadar pulang dengan pelbagai pengalaman mengujakan akan tetapi turut membawa bersama-sama pengetahuan tentang raja buah itu.

Dengan berpeluang melihat lebih dekat dunia penanaman durian termasuk mengenali pelbagai varieti buah kegemaran ramai itu serta bagaimana durian dijaga mengikut peringkat pertumbuhan, Koh berkata, pendekatan itu akan memberi gambaran lebih jelas kepada pengunjung mengenai buah tersebut.

“Sebahagian pelanggan yang pernah datang ketika musim durian turut kembali pada musim berikutnya terutamanya selepas berpuas hati dengan kualiti dan keselamatan buah yang ditawarkan,” katanya sambil berkongsi Duta Riand Villa turut menerima kunjungan pelancong dari luar, antaranya Korea Selatan.

Berkongsi lebih lanjut mengenai selok-belok penanaman raja buah itu, pekerja dusun Ahmad Safwan Fathi Zainuddin berkata, setiap varieti mempunyai tempoh kematangan dan waktu gugur berbeza dengan musang king dan udang merah lazimnya gugur lebih awal berbanding black thorn.

“Penjagaan pokok turut bergantung pada keadaan cuaca dan peringkat pertumbuhan termasuk ketika pembentukan bunga, putik dan pembesaran buah.

“Di dusun ini, black thorn dan musang king merupakan antara varieti utama ditanam selain kim hong dan udang merah,” katanya.

Ahmad Safwan yang telah bekerja di situ selama setahun berkata, antara keunikan dusun berkenaan ialah pelaksanaan kaedah cantuman yang membolehkan dua varieti durian tumbuh pada pokok sama, misalnya kim hong di bahagian bawah manakala musang king di atas dengan berkongsi akar yang sama.

“Pokoknya sama, cuma bahagian bawah kim hong dan atas musang king. Pokok cantuman kim hong dan musang king itu juga berpotensi menghasilkan buah yang lebih besar berbanding pokok biasa.

“Musang king pun boleh nampak bentuk berbeza, kadang-kadang bulat, kadang-kadang panjang,” katanya sambil menambah musim durian di Melaka lazimnya memuncak pada Mei dan berlanjutan hingga Julai, bergantung pada keadaan sesuatu musim. – Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

BERITA TERBARU