ARTIKEL

BELAJAR... Syakir melaungkan azan solat.

Pengalaman Ramadan Syakir Sebagai Mualaf

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENJALANI Ramadan dalam lingkungan keluarga yang berbeza pegangan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kekuatan jiwa, keteguhan iman dan keberanian untuk terus berdiri dengan prinsip sendiri.

Dalam keadaan itu, setiap detik berpuasa terasa lebih mendalam kerana perlu menyeimbangkan tanggungjawab sebagai umat Islam sambil terus menjaga hati dan menghormati orang yang lain.

KENANGAN… Syakir (tiga kiri) merasakan pengalaman solat berjemaah bersama-sama saudara Islam yang lain.

Namun di sebalik segala cabaran, Ramadan menjadi medan yang menguatkan hati, mematangkan jiwa dan menyemai kasih sayang yang lebih tulus, menjadikan setiap pengorbanan berasa begitu bermakna.

Muhammad Syakir Sylvester Peter, 29, yang memeluk Islam pada tahun lalu berkongsi cabaran yang dilalui, berpuasa dalam suasana keluarga yang berlainan agama menjadikan situasi agak berbeza.

“Walaupun berbeza agama, saya bersyukur kerana ahli keluarga tetap menunjukkan sikap hormat dan memahami kewajipan yang saya jalani sepanjang Ramadan.

“Sokongan moral daripada rakan dan komuniti setempat turut menjadi penyuntik semangat untuk saya terus istiqamah menjalani ibadah puasa,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Mengimbau hari pertama menjalani Ramadan sebagai Muslim, Syakir mengakui agak mencabar kerana perlu menyesuaikan diri dengan ibadah.

Menurutnya lagi, pengalaman pertama menunaikan solat tarawih benar-benar menguji fizikal dan mental, namun tetap diteruskan dan menyesuaikan diri secara perlahan-lahan.

“Pada awalnya saya rasa sedikit kekok, tetapi lama-kelamaan suasana tersebut bertukar menjadi pengalaman yang dinanti-nantikan,” jelasnya.

Beralih kepada pengalaman pertama bangun sahur, Syakir tetap gagahkan diri demi mendapatkan ganjaran pahala walaupun berasa sangat mengantuk.

Sepanjang minggu-minggu awal berpuasa, dirinya turut mengakui pernah melalui saat hampir berputus asa apabila diuji dengan pelbagai dugaan.

Antara yang paling menggoda iman adalah apabila terhidu aroma makanan di bazar Ramadan serta deretan kedai yang menjual pelbagai juadah.

“Saya teguhkan hati dengan niat berpuasa kerana Allah dan terus bertahan sehingga azan maghrib berkumandang,” katanya.

Tambahnya, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi medan mendidik hati supaya lebih sabar serta menghargai setiap nikmat kehidupan.

“Ramadan menjadi peringatan berterusan untuk sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Allah serta tidak melupakan insan yang memerlukan di seluruh dunia,” katanya.

Syakir (duduk kiri) selepas menunaikan kewajipan bersama-sama yang lain

BERITA LAIN

BERITA TERBARU