ARTIKEL

Datuk Ahmad Ibrahim

Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Ibrahim tegas hormati Perlembagaan, institusi Diraja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendirian berkaitan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya mengatasi kewajipan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkata, beliau mengambil pendirian neutral dengan merit kes berkenaan dan tidak mahu menghakimi sama ada bekas Perdana Menteri itu wajar atau tidak menerima pengampunan bersyarat tersebut.

“Yang penting bagi saya ialah kita menghormati Perlembagaan Persekutuan dan institusi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Saya sendiri memang seorang yang menjunjung tinggi institusi Raja dan sistem Raja Berperlembagaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Suara Sarawak mengulas keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman sebagai tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Ahmad berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan dalam sistem perlembagaan Malaysia, termasuk kuasa Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan melalui kerangka Lembaga Pengampunan.

“Dalam keputusan hari ini, Datuk Seri Najib diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukumannya sebagai tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Sekiranya syarat tersebut dilanggar, pengampunan bersyarat itu boleh ditarik balik dan beliau perlu kembali menjalani baki hukuman di penjara,” katanya.

Menurutnya, proses kehakiman dan kuasa pengampunan juga perlu dilihat sebagai dua mekanisme berbeza dalam sistem negara.

“Mahkamah menjalankan tanggungjawabnya dan membuat keputusan melalui proses undang-undang. Kuasa pengampunan pula merupakan satu mekanisme yang berasingan dan memang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Kedua-duanya adalah sebahagian daripada sistem negara kita,” katanya.

Ahmad berkata, rakyat tetap mempunyai hak untuk menyatakan pandangan masing-masing terhadap keputusan berkenaan, termasuk sama ada bersetuju atau sebaliknya.

“Apabila sesuatu keputusan dibuat melalui proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, saya menghormati keputusan tersebut dan saya menghormati kebijaksanaan serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara perlu dihormati secara konsisten tanpa bergantung kepada sama ada sesuatu keputusan itu selari dengan pandangan peribadi seseorang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU