JOHOR BAHRU: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat mempunyai kekuatan tersendiri menerusi pendekatan menyeluruh dan kesinambungan pentadbiran.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata manifesto mengandungi 63 tekad itu memberi tumpuan kepada golongan B40, belia termasuk mahasiswa serta penduduk bandar dan separa bandar. Tawaran berkenaan dibina berasaskan rekod pentadbiran dan pelaksanaan dasar sebelum ini.
Menurut Bernama, antara inisiatif utama ialah Bantuan Kasih Johor, Bantuan Rumah Pertama, Bantuan Masuk Rumah, Bantuan Sewa Rumah, pewujudan 200,000 peluang pekerjaan serta pengecualian bayaran lesen perniagaan. Tawaran itu disifatkan realistik berdasarkan kedudukan ekonomi Johor yang kukuh.
Sementara itu, penyelidik UTM, Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid menyifatkan manifesto itu sebagai berasaskan rekod pentadbiran dengan memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan perumahan.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan setiap inisiatif disertakan dengan petunjuk prestasi utama (KPI), garis masa dan mekanisme pemantauan supaya pencapaiannya dapat dinilai secara lebih objektif.

