KUCHING: Seorang penganggur lelaki diperintahkan bon berkelakuan baik selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, Mac lalu.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan demikian selepas pendengaran laporan sosial pesalah muda berusia 20 tahun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini, hari ini.
Menurut kertas pertuduhan, dia berasal Siniawan, Bau, didakwa mengambil dadah Methamphetamine di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan, sekitar jam 1.40 pagi , 28 Mac lalu.
Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Berdasarkan fakta kes, ketika ditahan pihak polis ujian saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah di Bahagian Siasatan IPD Padawan.
Kemudian, sampel urin dibawa ke Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak dan laporan mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


