Penganggur ditahan kerana cuba langgar polis

BAU: Seorang lelaki ditahan selepas bertindak agresif ketika cuba diperiksa polis di Kampung Grogo, semalam.

Suspek, 24, dilaporkan enggan memberikan kerjasama sebaliknya bertindak memecut laju kenderaannya untuk melepaskan diri serta cuba melanggar anggota serbuan di lokasi kejadian.

Mengesahkan kejadian, Deputi Superintenda Poge Nyaon berkata serbuan pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Bau sekitar jam 10.45 malam itu bagi mengesan sebuah kenderaan yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Menurutnya pada awal kejadian suspek dilaporkan enggan memberikan kerjasama dengan bersembunyi di dalam kenderaan terbabit biarpun diminta pasukan operasi untuk diperiksa lanjut.

TAHAN…Suspek ditahan untuk tindakan siasatan lanjut

“Suspek kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan memecut laju kenderaanya untuk melanggar pasukan operasi, menyebabkan kenderaannya tersangkut akibat ternaik ke atas kereta pasukan dari bahagian kiri.

“Suspek akhirnya berjaya ditahan dengan menggunakan kekerasan minima dimana dia mengalami kecederaan di bahagian pipi dan bahu masing-masing di sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan awal terhadap suspek bagaimanapun tidak menjumpai apa-apa barang salah dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Susulan itu katanya suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.

Tegasnya kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menghalang mana-mana penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak