KUCHING: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya tanpa sengaja di kediaman mereka di Siburan, Januari lalu.
Abang Ahmad Zaki Mohd Ladi, 42, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, Hakim Musli Abdul Hamid menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 Mac depan, sementara menunggu laporan kimia. Selain melanjutkan reman sehingga kes selesai.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan yang tanpa sengaja membunuh isterinya, berusia 43 tahun di kediaman mereka di Taman Duranda Emas, Siburan, sekitar jam 8.30 pagi, 22 Januari lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki selepas menerima laporan mengenai kematian wanita berusia 43 tahun dipercayai akibat kecederaan yang dialami selepas bergaduh dengan suami.
Punca kejadian, dipercayai disebabkan mangsa menghalau dan menuntut cerai daripada tertuduh kerana tertuduh enggan bekerja sejak setahun lalu.
Katanya, suspek juga sering meminta wang tetapi tidak membantunya berniaga, serta hanya tidur dan makan.


