ARTIKEL

Pengangguran meningkat ke paras 3.0 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan kadar pengangguran meningkat kepada 3.0 peratus, iaitu melibatkan 511.8 ribu penganggur setakat April tahun ini.

Statistik itu diperincikan dalam laporan Statistik Tenaga Buruh April 2026.

Laporan tersebut memberikan gambaran mengenai penawaran buruh Malaysia berdasarkan data daripada Survei Tenaga Buruh yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM).

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan sederhana pada April, sekali gus mencerminkan perkembangan ekonomi yang stabil.

“Sehubungan itu, tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada Mac lepas.

“Manakala, kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus sama seperti sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai prestasi keseluruhan tenaga buruh Malaysia pada April 2026 dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, jelasnya, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada April iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding bulan sebelumnya iaitu 16.80 juta orang.

Namun, bilangan penganggur kekal dalam trend menaik iaitu bertambah 0.6 peratus kepada 511.8 ribu orang berbanding 509.0 ribu orang pada Mac.

“Sehubungan itu, kadar pengangguran pada bulan tersebut naik 0.1 mata peratus kepada 3.0 peratus (Mac 2026: 2.9 peratus), sekali gus kembali kepada paras yang pernah direkodkan pada Oktober 2025,” katanya lagi.

Dr. Mohd Uzir berkata kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada April 2026. Kategori ini meningkat sedikit 0.05 peratus kepada 12.61 juta orang (Mac 2026: 12.60 juta orang).

Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja sendiri terus menunjukkan trend peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 3.15 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Mac 2026: 3.14 juta orang).

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah penduduk bekerja, dengan majoritinya terlibat dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman, serta maklumat dan komunikasi.

“Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian turut merekodkan pertumbuhan positif pada bulan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia dijangka kekal positif dalam jangka masa terdekat, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh, momentum pelaburan yang berterusan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan.

“Walau bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpunca daripada krisis tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan permintaan luaran dijangka akan terus mempengaruhi momentum pertumbuhan ekonomi serta prestasi pasaran buruh.

“Dalam tempoh akan datang, usaha memperkukuh keyakinan perniagaan, meningkatkan kebolehsuaian tenaga kerja dan merangsang pertumbuhan produktiviti akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi dan pasaran buruh negara kekal berdaya tahan,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU