SIBU: Pengangkutan sungai akan digunakan secara meluas untuk pengangkutan utama bahan binaan besar, termasuk hasil kayu bagi mengelakkan menggunakan jalan raya.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, rentetan itu, kajian Pelan Induk Pengangkutan Bersepadu Sarawak 2025-2040 akan dilaksanakan.
Menurutnya, kajian itu bermula Disember tahun lalu dan dijadual siap Mac tahun depan.
“Dengan pelan induk itu, kita ingin melihat cara untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan sungai terutamanya dalam pengangkutan barangan besar seperti bahan binaan berat merangkumi batu, pasir, kayu dan sebagainya.
“Kita mahu mengurangkan penggunaan jalan raya untuk mengangkut barang-barang ini yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kerosakan jalan,” katanya kepada media selepas meninjau projek bangsal bot terapung di sini, semalam.
Pelan induk itu, kata Kim Shin, melibatkan kajian penggunaan jalan raya, sungai dan pengangkutan udara.
Mengulas projek bangsal berharga RM904,255 itu, beliau berkata, ia dibina untuk menyediakan kemudahan yang sesuai bagi penyimpanan dan penyelenggaraan bot penguat kuasa Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dengan selamat.
“Tempoh pembinaannya mengambil masa lapan bulan dan 18 hari, bermula 9 Disember 2023, dan sepatutnya siap pada 7 September 2024.
“Tetapi projek ini siap pada 22 Ogos lalu iaitu mendahului jadual sepatutnya yang dijalankan oleh Zul Construction Company,” ujar beliau.
Beliau berkata, bangsal ini terletak di Terminal Penumpang Sibu di Jalan Khoo Peng Loong merupakan sebahagian inisiatif Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan infrastruktur pengangkutan sungai.
Bangsal ini katanya menyediakan penyimpanan dan penyelenggaraan yang selamat untuk bot penguat kuasa, meningkatkan keselamatan dan kecekapan rondaan sungai dan tindak balas kecemasan.


