KUCHING: Usaha Persatuan Papan Selaju Sarawak menganjurkan Kejohanan Papan Luncur Sarawak 2023 dilihat sebagai inisiatif yang tepat.
Penganjuran pertandingan tersebut tidak hanya mampu mencetus minat dalam kalangan belia terhadap sukan berkenaan.
Bahkan, mampu mempromosikan sukan berkenaan secara holistik di negeri ini.
Pegawai Belia Dan Sukan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Ikmal Afandi turut mengucapkan syabas kepada jawatankuasa penganjur atas usaha mengelola pertandingan tersebut.
“Tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana telah berjaya mengelola pertandingan teraebut.
“Kita percaya dengan adanya pertandingan seperti ini akan dapat memperlihatkan individu berbakat dalam sukan papan selaju,” ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut semalam mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SSC Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Beliau berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja memeriahkan ulang tahun Sarawak Merdeka Ke-60 tetapi memperingati Hari Papan Luncur Go, yang disambut di seluruh dunia pada 21 Jun.

