Penganjuran sukan petanque jadi platform lahirkan pelapis wakili Bintulu

BINTULU: Penganjuran sukan petanque di bahagian ini mampu menjadi platform melahirkan pelapis dalam sukan berkenaan untuk mewakili Bintulu.

ADUN Samalaju Majang Renggi berkata, dengan adanya aktiviti seumpama itu dapat memberikan pendedahan serta meningkatkan kemahiran dalam sukan petanque yang semakin popular dewasa ini.

Menurutnya, melalui acara seumpama itu dan pendedahan terhadap sukan tersebut, beliau yakin suatu hari nanti kita bakal mempunyai pelapis yang hebat seterusnya mewakili Bintulu mahupun negeri atau Malaysia dalam sukan petanque.

Jelas Majang lagi, di samping melahirkan atlet pelapis baharu, kegiatan bersukan juga mampu menjadi platform dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini sekaligus menyemai semangat cintakan negeri ini.

“Gunakanlah peluang ini sebagai medan untuk mengeratkan dan menyemarakkan hubungan silaturahim dalam kalangan kita semua khususnya bagi para peserta,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Petanque Double Knock-Out (Tertutup) Piala YB Majang Anak Renggi ADUN N.70 Samalaju bertempat di Arena Petanque MAKSAK, Wisma Residen Bintulu, di sini.

Sebanyak 20 pasukan bersaing merebut gelaran juara pada kejohanan anjuran Kelab Sukan Rekreasi Insider Bintulu yang berlangsung selama dua hari, bermula 23 hingga 24 November ini.

Majang, dalam pada itu, berharap kejohanan tersebut mampu menjadi medium untuk masyarakat berkumpul dan saling bertukar-tukar pandangan ke arah pembangunan bersama.

Malah, beliau berharap semangat kekitaan dan permuafakatan dalam kalangan masyarakat sentiasa disuburkan menerusi pelbagai aktiviti sihat khususnya aktiviti sukan.

Dalam pada itu, beliau berharap semua peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Majang melontar bola Petanque simbolik merasmikan Kejohanan Petanque Double Knock-Out (Tertutup) Piala YB Majang Anak Renggi ADUN N.70 Samalaju.

 

Majang merakam gambar bersama sebahagian peserta dan jawatankuasa penganjur
Kejohanan Petanque Double Knock-Out (Tertutup) Piala YB Majang Anak Renggi ADUN N.70 Samalaju.