BINTULU: Pesta Pantai Kampung Nelayan Batu Mandi di Similajau berpotensi menjadi pemangkin pelancongan serta pelestarian budaya tempatan, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi.
Beliau berkata penganjuran sukan rakyat dan persembahan seni tradisional mampu menarik pelancong dalam dan luar negara serta merangsang ekonomi setempat melalui sektor hospitaliti dan kraftangan.


“Acara sebegini bukan sahaja memperkukuh semangat muhibah, tetapi juga memperkayakan identiti budaya dan meningkatkan sosioekonomi penduduk,” katanya ketika merasmikan pesta tersebut pada Sabtu.
Pesta julung kali itu dianjurkan JKKK Kampung Nelayan Batu Mandi bersama Kelab Sukan Rekreasi Adventure Borneo, dengan sokongan Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan BDA.

Majang, selaku ADUN Samalaju, turut mengumumkan peruntukan RM400,000 di bawah RTP bagi menaik taraf jalan kampung serta menyerahkan geran RM20,000 kepada JKKK kampung untuk penganjuran aktiviti kemasyarakatan.

