KUCHING: Pengasas Kumpulan YAST, Esther Law Lee Poh meninggal dunia pada usia 51 tahun di Beijing South Region Oncology Hospital, China, malam tadi.
Berita pemergian usahawan wanita yang terkenal dengan pelbagai pencapaian di peringkat antarabangsa itu dikongsikan oleh keluarganya menerusi laman Facebook mendiang, hari ini.
“Dengan penuh dukacita, kami memaklumkan pemergian seorang isteri dan ibu yang kami sayangi, Esther Law Lee Poh pada 14 Jun 2026 jam 8.44 malam di Beijing South Region Oncology Hospital, China,” kata hantaran tersebut.
Menurut keluarganya, jasad mendiang akan dibakar di Beijing mengikut upacara pengebumian, sebelum abunya dibawa pulang ke Kuching.
Katanya, maklumat lanjut mengenai upacara penghormatan terakhir dan sembahyang pengebumian akan dimaklumkan selepas segala urusan dimuktamadkan.
“Kami amat menghargai doa, kasih sayang, sokongan dan penghormatan yang diberikan sepanjang tempoh sukar ini,” katanya lagi.
Sepanjang kariernya, Esther dikenali sebagai usahawan wanita berpengaruh dengan portfolio perniagaan yang pelbagai serta jaringan antarabangsa yang merangkumi lebih 70 negara.
Mendiang pernah menerima pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk Anugerah Toastmasters Paling Cemerlang Daerah 51 bagi tahun 2004 hingga 2005 serta Anugerah Sepuluh Belia Cemerlang Malaysia (TOYM) pada 2014.
Atas komitmen dalam tanggungjawab sosial korporat, beliau turut diiktiraf sebagai penerima Anugerah Pemimpin Tanggungjawab Sosial Korporat pada Anugerah Global McMillan Woods 2017.
Antara pengiktirafan lain yang diterimanya ialah Ahli Bintang Kenyalang (ABK) pada 2021, Anugerah Glamour Wanita 2021 serta Movers and Shakers menerusi Anugerah HRD Asia pada 2022.
Selain bidang perniagaan, Esther turut dikenali sebagai penulis dan pelukis berbakat. Mendiang pernah melancarkan buku bertajuk Senses of Life: Hidden Treasures Rediscovered yang bertujuan memberi inspirasi kepada kelompok industri kreatif tempatan ke arah masa depan yang dipenuhi kreativiti tanpa batas dan semangat keusahawanan.
Sebelum itu, mendiang juga menerbitkan sebuah buku yang menggabungkan koleksi 54 lukisan intuitif dan 54 puisi, mencerminkan minat serta bakatnya dalam bidang seni kreatif.


