BETONG: Kekurangan keanggotaan serta aset tidak menghalang Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, biarpun jumlah pegawai dan anggota di sesuatu tempat tidak ramai, namun semangat untuk bekerja itu sangat tinggi.
Sehubungan itu, beliau menyatakan PDRM sebagai unik kerana semua elemen yang ada diarah untuk digerakkan bagi membantu membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Bukan sahaja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong yang kekurangan pegawai dan anggota, begitu juga daerah-daerah lain.
“Tetapi itu bukan sebab utama untuk kita tidak memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah, justeru kita gunakan apa-apa yang ada di daerah tersebut dengan menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah berkaitan.
“Alhamdulillah, semakin bertambah baik apabila ramai pengedar dan penagih yang berjaya kita tangkap serta dakwa di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, di sini, hari ini.
Zainal bagaimanapun mengambil serius isu kekurangan keanggotaan di semua IPD di Sarawak.
“Saya ambil maklum dan memberitahu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk mengemukakan isu kekurangan anggota kepada Bukit Aman supaya dapat dikaji keperluan-keperluan menambah perjawatan,” ujarnya.
Sejak mengambil tampuk kepimpinan Kontinjen Sarawak pada 26 September lalu, beliau telah mengarahkan semua IPD untuk meningkatkan serbuan dan tangkapan terhadap pengedar dan penagih.
Di IPD Betong, beliau menzahirkan keyakinan terhadap KPD Betong yang baharu, Pemangku DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek untuk memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.
Selain itu, mempamerkan kepimpinan yang berintegriti serta mampu membawa IPD Betong ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
Wan Mohamad Ali yang berasal dari Sebuyau menyertai PDRM sebagai inspektor pada 1 November 2002.
Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di IPD Petaling Jaya Selatan, IPD Subang Jaya dan IPD Serdang dari 2002 hingga 2005.
Seterusnya berkhidmat sebagai Pensyarah Teknologi Maklumat di Maktab Teknik Muar, Johor pada 2005 hingga 2006.
Pada 2006, beliau menyertai Cawangan R&D Pusat Latihan PDRM (PULAPOL) Kuching sebagai Pegawai Penilai dan Peperiksaan, berkhidmat sehingga 2012. Sepanjang tempoh ini, beliau turut menjalankan tugas sebagai tenaga penggerak dalam pembangunan latihan dan penilaian anggota.
Bermula 2012 hingga 2014, beliau berkhidmat di Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Inspektor Implementasi HrMIS sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Balai Serdang, IPD Serdang pada 2014 hingga 2015.
Seterusnya, beliau meneruskan khidmat sebagai Ketua Polis Balai Padungan, IPD Kuching dari 2015 hingga 2020.
Pada 2020, beliau diberi amanah sebagai Timbalan Pengawal CCC, Tim C, JKDNKA IPK Sarawak dan berkhidmat sehingga 7 Disember 2025 dan pada hari ini, beliau memegang jawatan KPD Betong.


