Pengguna perlu bantu atasi pencemaran plastik

KUCHING: Masyarakat perlu bersama menangani pencemaran plastik, yang menjadi salah satu cabaran terbesar di Malaysia pada masa ini disebabkan pembuangan plastik yang tidak berhemah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata berdasarkan kajian World Wide Fund for Nature (WWF) pada 2019, Malaysia adalah antara negara tertinggi menggunakan plastik iaitu lebih kurang 16.78 kilogram per individu berbanding China, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

“Oleh itu, sebagai pengguna kita seharusnya mengambil langkah yang sewajarnya dalam mewujudkan alam sekitar yang sihat demi kelangsungan kehidupan generasi kita di masa depan.

“Sedikit usaha sebagai pengguna seperti pelaksanaan konsep 7Rs (rethink, refuse, reduce, reuse, recycle, repair, replace) mampu memberi impak yang tinggi dalam menguruskan bahan buangan plastik dengan lebih berkesan,” katanya sempena Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dan Hari Pengguna Kebangsaan 2021, hari ini.

Selain itu, beliau juga menyeru kepada semua pemain industri daripada pelbagai sektor perniagaan agar bersama-sama menggembleng usaha dengan mencari alternatif yang lebih mesra alam dalam penghasilan dan pembungkusan produk. “Usaha dan kerjasama semua pihak mampu mengubah dunia ini menjadi lebih kondusif dan selamat untuk generasi akan datang,” katanya.

Alexander menambah peranan berterusan yang dimainkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) juga berupaya mengubah minda pengguna, menerusi pelbagai program dan aktiviti seperti pendidikan pengguna, program kitar semula, program hidup sihat dan lain-lain.

Suara Sarawak