KUCHING: Penguatkuasaan bersepadu mengikut prosedur operasi standard (SOP) akan dilaksanakan bagi membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ujian saringan turut dilakukan untuk mengesan pengedaran atau penyalahgunaan dadah di sekolah.
“Kita telah menubuhkan 21 pusat sehenti untuk menangani masalah dadah di seluruh Sarawak di samping meningkatkan kesedaran masyarakat agar berani memberi maklumat supaya tindakan dapat diambil.
“Sebagai contoh, seramai 60 penagih dadah di Daerah Subis telah berjaya ditahan hasil maklumat awam,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Sosial di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.
Usaha ini katanya, membuktikan komitmen kementerian tersebut untuk menangani isu-isu berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.
Menurut Fatimah, pada masa yang sama, pihaknya juga melaksanakan 100 siri program pembangunan dan intervensi sosial di peringkat negeri dan Bahagian, yang melibatkan 12,830 peserta.
“Empat kajian dan penilaian pula telah disiapkan untuk dijadikan input berdasarkan bukti bagi dasar pelan tindakan dan pelan intervensi sosial.
Akui Fatimah lagi, ketika ini, orang awam semakin aktif berkongsi maklumat dengan kementeriannya dan ini amat membantu dalam mewujudkan penguatkuasaan yang lebih efektif.
“Melalui maklumat yang disampaikan orang ramai, aktiviti penguatkuasaan boleh dipertingkatkan agar bekalan dadah dan bahan terlarang kepada orang awam boleh diputuskan,” jelasnya lagi.