KUCHING: Senarai terperinci 64 kursus yang telah diluluskan di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) akan diumumkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 18 Disember.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, 64 kursus itu ditawarkan di empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak iaitu Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.
“Termasuk dalam skim ini ialah elaun sara hidup berjumlah RM15,000 kepada pelajar daripada isi rumah dengan pendapatan per kapita RM1,500 dan ke bawah sebulan.
“Daripada jumlah itu, RM5,000 diperuntukkan khusus bagi tujuan penginapan dan akan disalurkan terus kepada unit residensi atau perumahan di setiap Institusi Pengajian Tinggi Sarawak (SIHL) untuk diuruskan bagi pihak pelajar.
“RM10,000 selebihnya akan disalurkan terus ke akaun pelajar melalui S Pay Global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 10,427 komputer riba dan 4,364 baucar buku telah diagihkan kepada pelajar layak di semua institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia setakat Oktober tahun ini.
“Saya merakamkan terima kasih atas kelulusan peruntukan berjumlah RM32.5 juta bagi melaksanakan kedua-dua inisiatif ini,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, Sagah berkata seramai 40,378 pelajar yang memohon dan memenuhi syarat kelayakan telah menerima Bantuan Kewangan Khas (BKK).
“BKK telah memberikan sokongan besar dengan RM58.77 juta telah disalurkan kepada Yayasan Sarawak.
“Kami juga komited untuk meneruskan pemberian bantuan ini sepanjang tahun 2026,” ujarnya.


