SIBU: Seorang pengurus ladang di sini berputih mata apabila kehilangan wang simpanannya sebanyak RM240,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata lelaki berusia 50-an itu telah menyertai satu pelaburan yang diiklankan di laman sosial kerana tertarik dengan pulangan pelaburan yang tinggi.
“Mangsa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi Facebook pada awal November lalu. Suspek kemudian menawarkan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dengan segera melalui aplikasi CW(M)-Inc,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mancha, mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke akaun bank yang diberikan oleh suspek, berjumlah lebih kurang RM240,000.
Beliau menambah, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi setelah transaksi wang dilakukan.
Mancha berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, serta boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
“Kami menasihati orang awam agar tidak mudah percaya dengan pelaburan yang ditawarkan di laman sosial dan melakukan penelitian terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan.”


