KUCHING: Peniaga di Medan Niaga Satok mengamalkan perniagaan beretika dengan meletakkan tanda harga sepanjang masa, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin.
Beliau berkata sikap peniaga itu dikesan semasa lawatan mengejut beliau bersama Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, baru-baru ini.
“Dua hari lepas, saya bersama menteri singgah di Medan Niaga Satok untuk membeli barang, dan kami melihat peniaga-peniaga di sana ada meletakkan tanda harga.
“Mereka tidak tahu yang menteri dan pengarah turun tapi mereka telah menjalankan perniagaan yang beretika sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Malam Mesra Bersama Media dan Hero Pengguna KPDN Sarawak, malam tadi.
Matthew menyifatkan kepatuhan peniaga kepada peraturan meletakkan tanda harga sebagai hasil komitmen pasukan penguat kuasa KPDN Sarawak yang menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap masa.
“Tahniah kepada semua pegawai kita dalam memastikan perniagaan di Sarawak sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik dan harmoni,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta pengguna untuk turut memainkan peranan dalam memastikan komuniti peniaga di Sarawak terus menjalankan perniagaan beretika.
Matthew juga menambah, KPDN Sarawak akan terus bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa lain dalam menggempur peniaga yang tidak bertanggungjawab bagi menangani ketirisan.
“KPDN Sarawak tidak berseorangan, kita semakin ramai, untuk meletakkan Sarawak mencapai suasana perniagaan yang terbaik,” katanya.

