𝐊𝐔𝐂𝐇𝐈𝐍𝐆:Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memiliki lapan laras senjata tiruan tanpa lesen.
Tertuduh Mathiew , 38, dari Kampung Tabuan Dayak mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan dihadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki lapan laras senjata tiruan tanpa lesen di sebuah kedai di pusat beli-belah terkemuka, Jalan Song, sekitar jam 4.20 petang, 24 Jun lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan Persenjataan IPD Kuching telah membuat pemeriksaan di sebuah kedai sekitar jam 4.20 petang, 24 Jun lalu.
Antara barangan rampasan adalah selaras senjata tiruan jenis Ruseiagroza beserta lampiran, dua laras S686, dan selaras senjata tertera pelekat M3 beserta lampiran.
Selain itu, selaras senjata tiruan tertera pelekat ‘M3-1’, selaras M24 gel blaster sniper berharga RM250, selaras senjata berbentuk pistol, selaras senjata merupai senapang patah, 54 bungkus amunisi tiruan berbentuk gel putih dan 23 bungkus amunisi tiruan berbentuk kerongsong peluru senapang patah.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




