SARIKEI: Peniaga di daerah ini diingatkan agar tidak memandang remeh kewajipan memiliki lesen perniagaan yang sah sebelum menjalankan operasi.
Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Kaunselor Stephen Wong Kie Yong berkata, berkuat kuasa 24 Mac 2025, semua permohonan lesen akan diproses mengikut garis panduan baharu Penyeragaman Permohonan Lesen Operasi Pihak Berkuasa Tempatan di Sarawak.

Katanya, prosedur itu diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak bagi mempercepat kelulusan serta menyeragamkan proses di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dahulu, ada lesen yang mengambil masa sehingga tiga bulan untuk diluluskan.
Dengan garis panduan baharu ini, lesen berisiko rendah boleh siap dalam tempoh tiga hingga 14 hari, manakala lesen berisiko tinggi antara 15 hingga 60 hari bekerja,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menegaskan, kuasa kelulusan lesen kini diberikan kepada Setiausaha Majlis atau pegawai yang diberi kuasa di setiap PBT bagi memastikan urusan yang lebih cepat dan teratur.
Stephen berkata, langkah itu sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 di bawah inisiatif Kemakmuran Ekonomi: Kemudahan Menjalankan Perniagaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa para peniaga di Sarikei supaya segera memohon lesen melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar MDS bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.
Dalam pada itu, Stephen turut menegaskan bahawa lorong belakang bangunan perlu sentiasa bersih, selamat dan bebas daripada halangan kerana lorong itu merupakan ruang awam yang dilindungi oleh undang-undang.
“Pemilik premis dilarang membina atau menyambung struktur ke lorong belakang.
Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 termasuk tindakan merobohkan binaan haram,” katanya sambil mengingatkan para pemilik supaya menghormati kawasan awam demi kesejahteraan komuniti.


