KUCHING: Seorang peniaga lelaki dijatuhi hukuman penjara 96 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana meragut seorang wanita hingga menyebabkan kecederaan, awal Oktober lalu.
Dennil Fauzi, 32, dari Kampung Haji Baki, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi.
Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas telah merompak seorang wanita berusia 52 tahun hingga menyebabkan kecederaan.
Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah pondok menjual tiket kupon letak kereta di Jalan Song, kira-kira jam 9.08 pagi, 2 Oktober lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Menurut fakta kes, ketika kejadian, pengadu merupakan adik mangsa menerima panggilan daripada mangsa menyatakan dirinya beg tangannya telah diragut oleh dua orang lelaki menggunakan sebuah motosikal di depan sebuah pondok menjual tiket kupon kereta di Jalan Song.
Apabila pengadu tiba di tempat kejadian, dia melihat mangsa dalam keadaan cedera di bahagian lengan kiri dan bengkak di kepala. Pengadu kemudian membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut sebelum membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya.
Mangsa kehilangan barang-barang pentingnya seperti kad ATM, kad pengenalan diri, lesen memandu, kad kredit dan wang tunai berjumlah RM700.
Pada 4 Oktober lalu, sekitar jam 9.45 malam, pihak polis menerima laporan berlaku kes ragut di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Simpang Tiga yang berjaya ditahan orang awam.
Pihak polis melakukan tangkapan semula tertuduh untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa semasa melakukan rompakan berdasarkan laporan polis pada 2 Oktober lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fauzan Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


