KUCHING: Statistik jenayah separuh pertama tahun ini menunjukkan penurunan ketara dalam jenayah indeks harta benda dan kekerasan di Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, bagaimanapun, peningkatan membimbangkan direkodkan bagi kes jenayah komersial, narkotik dan kemalangan maut jalan raya.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025 dengan tempoh sama tahun lalu, jenayah harta benda menurun sebanyak 36.71 peratus melibatkan 203 kes, manakala jenayah kekerasan turut berkurangan 5.71 peratus atau empat kes.
“Sepanjang tempoh itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching berjaya menyelesaikan 101 kes dengan penangkapan seramai 132 individu,” katanya pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching di sini, hari ini.
Tambah Alexson, antara kes utama yang berjaya ditumpaskan termasuk curi kenderaan, curi kabel, curi besi, curi aksesori kenderaan dan pecah rumah.

Bagaimanapun katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik melaporkan peningkatan tangkapan daripada 1,182 orang pada separuh pertama 2024 kepada 1,232 orang tahun ini. peningkatan sebanyak 4.05 peratus.
“Dalam tempoh sama, kertas siasatan dibuka turut meningkat kepada 1,165, berbanding 1,146 tahun lalu.
“Jumlah rampasan dadah juga meningkat melibatkan 5,687.94 gram dadah jenis Methamphetamine (syabu), ketamin, ganja, serbuk ekstasi serta 2,458 biji pil psikotropik termasuk ekstasi dan Erimin 5,” katanya.
Sementara itu kata Alexson, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial merekodkan lonjakan ketara dengan 1,498 laporan diterima berbanding 1,334 kes dalam tempoh sama 2024 iaitu peningkatan sebanyak 45 peratus.
Sebanyak 366 kertas siasatan dibuka dan nilai kerugian mencecah RM5.67 juta, iaitu naik 34 peratus, ujarnya.
“Dalam aspek keselamatan jalan raya, 15 kemalangan maut direkodkan setakat Jun 2025, meningkat 50 peratus berbanding 10 kes tahun lalu. Kes kemalangan parah turut meningkat daripada empat kepada tujuh kes.
“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan 4.1 peratus iaitu daripada 2,961 kepada 2,852 kes.
“Sebanyak 92 operasi trafik dijalankan termasuk Ops Samseng Jalanan dan Ops Memandu Mabuk – menyaksikan 70 kenderaan disita dan 14 tangkapan dibuat.
“Orang awam diminta agar terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, khususnya dalam menangani peningkatan jenayah komersial dan penyalahgunaan dadah yang kini menjadi ancaman besar di bandar raya ini,” katanya.


