Penjaga gol Palestin, Saleem Al-Ashqar terbunuh awal minggu ini di Gaza dalam serangan tentera Israel, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA).
PFA memaklumkan Al-Ashqar terbunuh akibat tembakan yang dilepaskan oleh tentera Israel.
Menurut persatuan itu, beliau merupakan antara ratusan penggiat sukan Palestin yang terkorban, termasuk lebih 1,000 atlet Palestin, sejak Oktober 2023.
Al-Ashqar, yang mendirikan rumah tangga lima bulan lalu, meninggalkan balu yang kini sedang hamil anak pertama mereka.
Pemergian beliau telah mencetuskan rasa hiba yang mendalam dalam kalangan ahli keluarga, rakan sepasukan serta seluruh komuniti sukan tempatan dan antarabangsa.
“Kami amat berdukacita atas pemergian tragis penjaga gol Palestin berusia 32 tahun, Saleem Al-Ashqar.
“Beliau terbunuh di tangan tentera Israel. Kami amat sedih melihat insiden seumpama ini terus berlaku dan menyeru agar keadilan serta keamanan ditegakkan,” menurut kelab bola sepak Chile, Deportivo Palestino pada Rabu. – Bernama-Anadolu


