ARTIKEL

Nancy melancarkan Majlis Inisiatif Sektor Penjagaan di Bawah Belanjawan MADANI 2026, di sini, hari ini | Foto: Ghazali Bujang

Penjaga perlu dilatih, diiktiraf sebagai tenaga profesional – Nancy

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan mahu sektor penjagaan diperkasa sebagai bidang pekerjaan profesional melalui latihan khusus, peluang kerjaya serta pendapatan yang lebih baik.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu perlu bagi mengubah tanggapan bahawa pekerjaan sebagai penjaga hanya sesuai untuk golongan tertentu atau sekadar kerja menjaga individu yang sakit dan warga emas.

Beliau mendedahkan bahawa terdapat pihak tertentu yang menawarkan peluang khususnya kepada ‘orang kampung’ untuk mengikuti latihan penjagaan selama tiga tahun, dengan elaun serta gaji asas RM1,700 sebelum diserap bekerja dengan gaji sekitar RM3,000.

“Kita kena ingat tidak semua orang kampung mahu kerja seperti ini. Mereka mungkin berasa bahawa martabat mereka direndahkan kerana menjadi tukang jaga atau penjaga.

“Jadi kita tidak mahu lagi orang kampung atau sesiapa sahaja tidak diiktiraf dari segi profesionalisme mereka sebagai penjaga.

Kita mahu memberi mereka peluang supaya menjadi penjaga yang profesional,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Inisiatif Sektor Penjagaan di Bawah Belanjawan MADANI 2026, di sini, hari ini.

Justeru, latihan penting bagi memastikan penjaga mempunyai ilmu dan kemahiran yang betul dalam aspek keselamatan, komunikasi, pengurusan tingkah laku serta keperluan fizikal dan emosi individu yang dijaga.

Katanya, penjaga juga perlu memahami asas saintifik dalam menangani masalah kesihatan dan tidak hanya bergantung kepada andaian atau amalan tanpa penjelasan perubatan.

“Contohnya, apabila seseorang mengalami sakit, jangan terus menganggapnya sebagai ‘angin’ hanya kerana selepas diurut sedikit keadaan itu berasa lega.

“Kita mesti tahu penjelasan saintifik mengapa perkara itu berlaku dan membuat penilaian sebelum menentukan penyelesaiannya,” ujarnya.

Ujar Nancy, usaha meningkatkan profesionalisme penjaga turut membuka peluang keusahawanan, laluan kerjaya profesional dan nilai ekonomi yang besar kepada negara berikutan permintaan ke atas tenaga penjagaan yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, kerajaan mahu melahirkan tenaga penjagaan yang kompeten, terlatih dan mempunyai laluan kerjaya yang jelas, termasuk dalam kalangan penggiat pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi pembangunan piawaian penjagaan bagi memastikan wujud tanda aras kualiti yang jelas, konsisten dan diyakini.

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,