ARTIKEL

SELAMAT BERPUASA.... Abdul Rahman (dua kiri) bersama Ibrahim (dua kanan) dan Hilmy (kiri) pada perasmian Bazar Ramadan BandarayaKU di Satok, Kuching semalam. - Foto Mohd Alif Noni

Penjaja digesa pastikan makanan di bazar Ramadan selamat dimakan, segera dijual

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis makanan bagi memastikan makanan di bazar Ramadan sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk dimakan.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata langkah ini bagi mengelakkan kejadian lebihan makanan seperti yang berlaku pada tahun lepas, selain memastikan penyediaan makanan di bazar Ramadan terkawal tahun ini.

Menurutnya, langkah yang diambil adalah memberi arahan kepada penjaja untuk menjual juadah yang siap dibeli oleh pembeli pada hari tersebut, dengan tujuan mengelakkan terjadinya pembaziran makanan.

“Saya pasti pada tahun ini mereka dapat memastikan jumlah barang makanan yang dijualkan untuk keperluan hari tersebut dan hari berikutnya disediakan dalam jumlah yang mencukupi untuk hari yang berikut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Bazar Ramadan BandarayaKU di Bazar Ramadan Satok bersama-sama ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, penekanan juga diberi kepada kebersihan tempat jualan dengan meminta penjaja untuk membersihkan kawasan mereka selepas selesai beroperasi.

“Mereka juga diarahkan untuk mengumpul semua sisa makanan dan sampah serta membuangnya di tempat yang disediakan oleh pihak DBKU.

“Selain itu, penjaja juga diarahkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan kesihatan mereka sebelum memulakan operasi menjual di bazar Ramadan.

“Ini adalah beberapa langkah yang telah disediakan oleh DBKU bagi memastikan kelancaran dan kebersihan bazar Ramadan ini,” tambahnya.

Dengan langkah proaktif ini, beliau berharap bazar Ramadan tahun ini dapat berjalan dengan lancar tanpa kejadian lebihan makanan yang menjadi masalah pada tahun-tahun sebelumnya.

Manakala bagi Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman berkata, DBKU memberikan jaminan bahawa langkah kesihatan yang ketat telah diperkenalkan bagi memastikan makanan yang dijual adalah selamat untuk dimakan.

Beliau menegaskan bahawa setiap peniaga yang diberi ruang di bazar Ramadan perlu mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan, terutamanya dalam aspek kebersihan.

“Kita memastikan kepada semua peniaga yang telah kita beri ruang untuk menjayakan bazar Ramadan kali ini bahawa setiap kesihatan yang tinggi dan sebagainya, terutamanya kebersihan.

“Tiindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang tidak mematuhi standard kesihatan yang ditetapkan oleh DBKU.

“Jika terdapat peniaga yang menjual makanan yang tidak mematuhi standard kesihatan, kita akan tarik permit dan memberi ruang itu kepada orang lain. Itu tetap,” jelas Hilmy.

Bazar Ramadan Satok ini telah mula bermula semalam hingga 9 April depan dan terdapat 95 gerai yang menjual pelbagai jenis juadah makanan dan minuman.

Tahun ini, DBKU bekerjasama dengan pihak CCK Fresh Mart, Lee Ming Press Sdn Bhd dan Media Venture Sdn Bhd.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU