SARIKEI: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan penjawat awam negeri bakal menerima bonus khas kewangan sebanyak dua bulan gaji tahun ini susulan prestasi kewangan Sarawak yang terus kukuh dengan hasil meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan hasil negeri kepada RM14 bilion pada fasa pertama Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan untuk rakyat.
“Alhamdulillah, pendapatan Sarawak meningkat dua kali ganda.”
“Waktu saya menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, pendapatan kita hanya sekitar RM7 bilion.”
“Hari ini, dalam fasa pertama 2020 hingga 2025, pendapatan Sarawak telah meningkat daripada RM7 bilion kepada RM14 bilion dan pegawai kerajaan pun akan dapat bonus dua bulan.”
“Awal memberitahu ya, walaupun bajet belum dibentangkan lagi.”
“Saya berani cakap begitu kerana ada tanda-tandanya.”
“Insya-Allah, bolehlah,” katanya pada Majlis Perasmian Sarawakku Sayang Bahagian Sarikei, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedudukan kewangan negeri yang kukuh membolehkan kerajaan memperkenalkan pelbagai bantuan dan insentif termasuk pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak, kenaikan elaun ketua masyarakat dan ketua kaum serta ganjaran kepada penjawat awam.
“Dengan adanya dana itulah kita dapat membangunkan negeri, termasuk memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak,” katanya.
Tambahnya, kejayaan yang dicapai Sarawak hari ini adalah hasil komitmen seluruh jentera pentadbiran negeri yang bekerja keras menjayakan agenda pembangunan.
“Kita juga memberi banyak insentif kepada pegawai-pegawai kita.”
“Kalau kita kerja kuat, negeri akan menjadi kuat.”
“Kalau kita tidak kerja kuat, negeri tidak akan kuat.”
“Inilah hasil yang kita capai sepanjang fasa pertama 2020 hingga 2025 dan tahun ini kita memulakan fasa kedua pembangunan Sarawak,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh ekonomi dan hasil negeri bagi memastikan manfaat pembangunan dapat terus dinikmati rakyat.


