KUCHING: Pengaruh menonton video lucah akhirnya memakan diri apabila seorang penjual kuih dikenakan hukuman penjara 39 tahun dan 11 sebatan, atas kesalahan merogol adik tiri Orang Kelainan Upaya (OKU) intelektual berusia 13 tahun hingga mengandung.
Tertuduh berusia 22 tahun mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Iris Awen Jon.
Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan, kerana merogol adik perempuan tirinya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Dia melakukan kesalahan itu, di kediaman mereka, antara bulan Ogos dan September 2025, dan Januari lepas.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.
Iris menjatuhkan hukuman penjara 13 dan empat sebatan bagi pertuduhan pertama dan ketiga. Manakala, pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman 13 tahun penjara dan tiga sebatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemulihan kaunseling sepanjang menjalani hukuman, selain di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas keluar dari penjara.
Menurut fakta kes, pada 29 Mei lepas, pengadu kes merupakan pegawai pembangunan masyarakat daerah Serian menerima maklumat dari Hospital Serian mengenai seorang kanak-kanak perempuan OKU sedang hamil 33 minggu.
Susulan itu, laporan polis dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut lalu satu tangkapan dilakukan ke atas tertuduh pada hari yang sama.
Semasa ditemu bual oleh pegawai sosial, di hadapan ibu kandung dan bapa tiri mangsa mengaku abang tirinya telah merogolnya.
Hasil siasatan mendedahkan ketiga-tiga kejadian berbeza dalam situasi yang sama, tertuduh telah membuka seluar mangsa lalu memasukkan kemaluannya secara paksa ke dalam kemaluan mangsa ketika sedang tidur.
Semasa kejadian tersebut, mangsa cuba melawan tetapi tidak berdaya dan hanya mampu menangis.
Difahamkan, tertuduh juga mempunyai rekod lampau melibatkan kes di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang, sama ada melalui perkataan, isyarat, atau perbuatan yang bertujuan mencabul atau mengganggu kesopanan.
Pendakwaan kes dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


