KUCHING: Dua pusat pemulihan penagihan narkotik baharu perlu ditubuhkan di Miri bagi Zon Utara dan Sibu bagi Zon Tengah susulan hanya satu pusat sedia ada beroperasi di Kuching setakat ini.
Pengerusi Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (PEMADAM) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata permohonan telah dikemukakan menerusi Majlis Pembangunan Sosial Sarawak kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Cadangan lokasi pusat pemulihan di Miri adalah di Lot 2357 Blok 17 Kuala Baram iaitu bekas tapak Akademi Imigresen Malaysia Timur seluas 34 ekar. Sekiranya dipersetujui oleh Imigresen tempat itu juga dapat dikongsi bersama ataupun diperuntukkan untuk pembinaan pusat pemulihan” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Sarawak Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini.
Sementara itu, katanya di Sibu pula dicadangkan untuk dibina di Lot 7816 Blok 10 Seduan, iaitu tapak pemancar milik Rancangan Televisyen Malaysia (RTM).
“Penambahan kemudahan ini dilihat penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pusat pemulihan di Kuching serta mengatasi kesesakan klien yang memerlukan rawatan dan pemulihan di negeri ini” katanya.
Bagi melancarkan proses siasatan dan pendakwaan kes berkaitan dadah, Abdul Karim berkata satu lagi cadangan penting yang turut dibangkitkan dalam mesyuarat ialah penubuhan makmal patologi baharu di Miri dan Sibu.
Beliau berkata memandangkan makmal sedia ada ketika ini hanya terdapat di Kuching, menyebabkan kes-kes dari zon tengah dan utara terpaksa dihantar ke Kuching dan mengambil masa sehingga lima hari, sekali gus menjejaskan kelancaran perbicaraan di mahkamah.
“Walaupun cadangan ini pernah ditolak sebelum ini atas faktor kekangan sumber manusia dan kewangan ia akan dibawa semula untuk pertimbangan lanjut” katanya.
Meskipun indeks penyalahgunaan dadah di Sarawak berada pada kedudukan ke-11 atau ke-12 berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, kebimbangan tetap wujud susulan peningkatan trend penggunaan dadah sintetik seperti syabu, ujar Abdul Karim.
Sehubungan itu beliau berkata agensi berkaitan disaran untuk memperketat kawalan kemasukan serta meneliti secara menyeluruh butiran penghantar dan penerima mana-mana barang yang dihantar melalui kurier.
“Seramai 6,151 penagih dadah telah direkodkan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 dengan 93 peratus daripadanya adalah lelaki dan tujuh peratus wanita.
“Walaupun jumlah itu tidak menunjukkan peningkatan ketara berbanding tempoh yang sama tahun lalu, pemantauan berterusan tetap menjadi keutamaan” katanya.



