PADAWAN: Penubuhan skuad antidadah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong merupakan antara inisiatif berterusan untuk mencegah dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat tempatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata, penubuhan skuad ini juga bertujuan untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah.
“Skuad ini juga akan memberi sokongan kepada individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta mempromosi gaya hidup sihat khususnya kepada generasi muda,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan Skuad Antidadah DUN Mambong di Pejabat Daerah Kecil Padawan, hari ini.
Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mambong turut memberitahu bahawa penubuhan skuad itu mampu membentuk masyarakat yang lebih sihat, sejahtera dan bebas daripada ancaman dadah.
Tambahnya, ia ditubuhkan dengan matlamat menangani isu dadah yang semakin membimbangkan di kawasan DUN Mambong.
Pada masa yang sama, skuad ini mengambil pendekatan kolaboratif antara agensi kerajaan dengan pertubuhan belia dan komuniti tempatan untuk memastikan usaha ini berjaya.


