BINTANGOR: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seorang pejalan kaki yang dipercayai melintas jalan secara mengejut di Kilometer 1, Jalan Kelupu berhampiran Simpang Jalan Buan, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Mohd Rohaizzad Syazwan Abdullah, 23, dari Kampung Abang Amin, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bintangor pada pukul 6.39 pagi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Polis Tansli Mering berkata, kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang mangsa dengan seorang pejalan kaki lelaki berusia 20 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari arah pekan Bintangor menuju ke Taman Bintang sebelum seorang pejalan kaki yang berada di bahu kiri jalan bertindak melintas secara tiba-tiba.
“Tindakan itu menyebabkan penunggang motosikal tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengelakkan pelanggaran kerana jarak antara kedua-duanya terlalu dekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan, manakala mangsa tercampak dan terseret di atas permukaan jalan sehingga meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam pada itu, pejalan kaki terbabit hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Polis turut mengambil sampel darah pejalan kaki berkenaan untuk menjalani ujian alkohol dan dadah sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
“Sementara itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei bagi tujuan bedah siasat dan dokumentasi,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zainal Abdul Ghafar di talian 011-11945095 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong bagi membantu siasatan.




